Tuesday, 23 October 2012

KENANGAN TERAKHIR!!


Sekadar berkongsi cerita.. dan kenangan bersama arwah nenek yang kami semua sayangi... al- fatihah disedekahkan sebelum menulis post ini...

Pada tanggal 20 September 2012 nenek dimasukkan ke Hospital Batu Pahat kerana ayah melihat nenek semakin lemah sampai tidak mampu celik mata... Beberapa hari sebelum itu, nenek dihantar ke rumah pakcik aku kerana kami sekeluarga ingin balik kampung sebelah ibuku di Kota Tinggi. Nenek memang kelihatan kurang sihat mungkin penat berpindah-randah...

Petang hari pertama di hospital, nenek dijaga oleh saudaraku yang dipanggil Zura. Pada esoknya, anak-anak nenek dari jauh dan dekat bertandang di hospital itu untuk bertukar syif menjaga nenek.. Selalunya apabila bukan waktu melawat, pelawat tidak dibenarkan masuk, tapi kami lebih kurang 30 orang masuk juga ke tingkat dua dari pagi sampai pagi esoknya.. sehingga hari isnin, ramai anak nenek balik ke rumah masing-masing kerana ada yang bersekolah. Aku sekeluarga dan juga makcik pakcik yang tinggal berdekatan berganti-ganti syif menjaga nenek.. Pada hari Rabu, baru aku mendapat pass melawat memandangkan aku selalu naik turun hospital tu.. Nenek disahkan mempunyai jangkitan kuman. 5 organ nenek rosak teruk.

Sepanjang di hospital, nenek tidak bercakap sepatah pun.. mata nenek pun kejap celik, kejap pejam..
Hari Jumaat, sekali lagi anak-anak nenek berkumpul.. seperti mengetahui sesuatu akan berlaku, sembilan orang kesemuanya ada sekitar Batu Pahat, menumpang tidur di rumah adik-beradik. Petang itu, tugas adik saudara aku menjaga nenek bersama maknya dan Ucu, itu adalah kali pertama baginya yang tidak pernah menjaga nenek ketika di wad.. Malam pula tugas Mak Anjang, Pak Anjang, Ira (kakakku) dan Cik Ita.. Manakala, aku dan yang lain di rumah Cik Ita dan Mak Itam.

Tiba masanya, pada pukul 12 malam syif aku, mak dan mak ngah menjaga nenek sampai ke pagi. Walaupun sepatutnya hanya dibenarkan 2 orang sahaja menjaga pesakit, tetapi aku berselindung di sebalik langsir. Aku duduk bersebelahan kepala nenek sehingga pukul 3 pagi. Mak dan mak ngah duduk di hujung kaki nenek rancak berbual. Mataku sudah mengantuk lalu aku menyusun dua buah kerusi betul-betul bersebelahan nenek untuk aku baring. Aku terlena sampai pukul 5 pagi. Mak aku sudah ke surau untuk tidur dan bersembahyang di sana, kemudian mak ngah pula ke surau untuk sembahyang. Aku seorang menjaga nenek sampai mak ngah kembali. Ketika itu, aku melihat nenek masih bernafas. Lalu aku pula ke surau. 

Di surau aku tertidur sampai pukul 6 pagi dan terus menunaikan solat. Mak aku pula masuk ke wad untuk menjaga nenek. Selesai solat aku duduk di luar wad, untuk menyegarkan mata.Aku bermain game dan mendengar lagu seketika. Apabila bosan, aku masuk semula ke wad. Melihat ramai jururawat yang sibuk bertugas aku mengambil keputusan untuk melihat sekejap nenek dan keluar semula. Ketika aku sedang mendengar lagu pada pukul 6.50 pagi, mak ngah aku keluar dan bertanya samada hp aku mempunyai kredit, aku mengangguk dan memberi hp ku kepadanya. Mak ngah menyusul masuk ke wad. Aku yang terlupa bahawa hp mempunyai password, lalu aku pun masuk ke wad untuk mengejar mak ngah. 

Sampai di katil nenek, aku lihat nenek sudah dihadapkan ke dinding. Tidak pula aku tahu mengapa doktor berbuat seperti itu. Lalu doktor dan jururawat  membuat kerja masing-masing. Mak aku yang kegelisahan merasa nadi nenek lalu memanggil jururawat. Jururawat pun memeriksa nadi dengan tangan lalu memanggil doktor. Doktor datang membawa mesin yang membolehkan kita melihat nadi nenek. Terpampang jaluran hijau yang lurus dengan tanda 0. Kami semua sudah tahu nenek sudah pun tiada. Aku menangis sambil memegang kuat begku. Aku capai semula hp ku dan terus menelefon ayah. Aku tidak mampu bersuara. Mak mengambil hp dan memberitahu ayahku. Sementara jururawat mengemas katil nenek, aku dan mak ngah keluar wad dan duduk di kerusi membaca yasin. Mak dan mak ngah tidak menangis, mereka sungguh tabah. Hanya aku yang menangis di situ.

Pak Anjang dan Cik Ateh sampai, kami masuk bersama. Jururawat membenarkan kami membaca yasin disebelah arwah nenek. Aku membaca sambil menangis teresak-esak. Pak Anjang dan Cik Ateh keluar menunggu jenazah nenek di bawa ke bilik mayat. Setelah reda menangis. Aku turun ke bawah untuk membeli berus gigi. Ketika mahu naik semula ke atas, aku telah menunjukkan pass melawat kepada jaga lelaki. Jaga itu pula bertanya kepadaku dengan nada untuk memberitahu pass aku sudah tamat tempoh.

Jaga: Adik... hari ni berapa hari bulan??
Aku: 29
Jaga: Cuba adik
(aku memintas percakapannya)
Aku: nenek saya dah meninggal.
Jaga: OH (terkejut). naik! naik!

Ketika aku naik, nenek sudah ditutup dengan kanvas untuk di bawa ke bilik mayat. Aku dan Cik Ateh tinggal sebentar untuk memguruskan surat kematian. Aku mengambil kesempatan untuk memberus gigi di wad itu. Kemudian, kami turun dengan membawa barang nenek menuju ke bilik mayat. Kawan-kawan sepejabat Pak Anjang dan Cik Ateh datang untuk menunaikan solat jenazah. Saudara-mara yang lain pulang ke Rengit untuk memguruskan rumah dan menelefon orang-orang jauh. Keluarga mak sanah pula sampai ke hospital.

Tukang kapan memanggil waris yang ingin tolong memandikan nenek. Ketika itu, aku, mak dan mak ngah yang kesemuanya belum mandi merelakan diri untuk tolong memandi dan mengkapankan nenek. Mak sanah, syaza, cik ateh, pak anjang dan ayah zamani duduk di luar. Ini adalah pengalaman pertama kami memandi dan mengkapankan jenazah. Ketika, di dalam bilik itu, hanya kami berempat sahaja yang tahu keadaan nenek. Sungguh memilukan. Seperti ada sesuatu yang mendorong aku untuk bersemangat. Tiada lagi air mata yang mengalir. Selesai dikapan, waris dibenarkan mencium nenek, kami yang perempuan mencium muka nenek yang berbau wangi, nenek ditutup pula dengan kain batik dan di sembahyangkan. 

Kemudian dimasukkan ke dalam van jenazah. Kami bertiga yang belum mandi sekali lagi menjadi peneman nenek di dalam van itu sehingga sampai ke rumah nenek di Kampung Sungai Dulang. Ketika itu sudah ramai yang berkumpul di rumah kayu itu. Orang jauh dan dekat semua menyedekahkan doa untuk nenek. Nenek disembahyang kan sekali lagi. Anak-anak nenek yang belum berkesempatan mencium pula mengambil giliran. Nenek di bawa masuk ke dalam van dan dibawa ke tanah perkuburan. Ketika itu, kami yang perempuan tidak pergi ke sana. Cuma ada segelintir sahaja. Nenek di kebumikan bersebelah kubur arwah atuk kami. 

Tarikh nenek meninggal: 29 September 2012
Tarikh atuk meninggal: 25 September 1997

Tabik kat seluruh ahli keluarga sebab tak henti-henti bacakan yasin untuk nenek. Harap kita semua akan kerap memeriahkan rumah nenek dan selalu berjumpa. :)


Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment